Sunday, December 21, 2008

Mawi-Ekin sah suami isteri

Mawi bersama isterinya, Ekin melambaikan tangan kepada para peminat selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Abu Bakar, Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU 20 Dis. – Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Asmawi Ani, 27, atau Mawi hari ini sah bergelar suami kepada Nora’ Asikin Rahmat, 29, atau Ekin apabila kedua-dua mereka diijabkabulkan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini kira-kira pukul 11.45 pagi ini.

Mengenakan pakaian sedondon berwarna putih gading tajaan Butik Cosry, majlis akad nikah disempurnakan oleh imam masjid tersebut, Datuk Mahat Mohd. Said dengan empat orang saksi termasuk penyanyi Akhil Hayy mewakili keluarga Mawi dan pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadhilah Kamsah bagi pihak keluarga Ekin.

Majlis dimulakan apabila rombongan pengantin perempuan membawa masuk 11 dulang hantaran yang terdiri daripada jam tangan, kasut, dompet, tali pinggang, sejadah berserta songkok, al-Quran, cincin, set pewangi, buah-buahan dan sirih junjung.

Ia diikuti rombongan pengantin lelaki membawa sembilan dulang hantaran berupa al-Quran, cincin, tas tangan, kasut, jam tangan dan alat solek, pewangi, kek, sirih junjung serta wang hantaran berupa cek bernilai RM30,000.

Walaupun raptai majlis tersebut diadakan sehari sebelum upacara itu, Mawi dilihat agak berdebar tetapi dapat melafazkan akad nikah dengan lancar.

Sebaik sahaja akad nikah selesai, Mawi diberi peluang membaca taklik dan seterusnya melakukan sujud syukur bersama imam masjid berkenaan, Mahadir Yahya.

Majlis menjadi agak lucu apabila Mawi kelihatan kekok dan terus ketawa apabila diminta jurugambar untuk mencium dahi isterinya selepas sesi menyarungkan cincin bagi membatalkan air sembahyang serta menyerahkan mas kahwin sebanyak RM22.50.

Bagaimanapun suasana sedikit hiba apabila Ekin mengalirkan air mata ketika mendengar pesanan ibunya, Fatimah Saad.

Upacara akad nikah itu turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Oasis lebih dua jam bermula pukul 10.30 pagi.

Ini merupakan majlis pernikahan artis kedua yang disiarkan secara langsung selepas majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid Mohamad Jiwa, yang disiarkan secara langsung menerusi TV3 pada 21 Ogos 2006.

Pada sidang akhbarnya, Mawi berkata, beliau amat gembira kerana akhirnya bergelar suami kepada Ekin selepas melalui pelbagai dugaan sepanjang perkenalan mereka.

“Sebelum ini kami menghadapi macam-macam dugaan tetapi akhirnya kami disatukan juga sebagai suami isteri,” kata Mawi yang akan melantik Ekin sebagai perunding imej dan pengurusnya.

Kata Mawi, antara faktor yang menambah perasaan sayangnya terhadap Ekin ialah apabila melihat pengorbanan isterinya yang tabah menghadapi tekanan ketika dikecam oleh segelintir pihak.

Ekin yang akan membuka butik busana Muslim selepas perkahwinan berpendapat, dia membuat keputusan yang betul memilih Mawi sebagai suaminya walaupun penyanyi itu turut dilemparkan pelbagai tuduhan.

Sementara itu, majlis resepsi sebelah keluarga perempuan akan diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) malam ini dengan 1,500 tetamu. Majlis sambut menantu di sebelah pihak lelaki pula akan diadakan pada 28 Disember ini di Felda Taib Andak, Kulai.

http://www.utusan.com.my/

Thursday, November 13, 2008

Ina ucap tahniah pada Mawi, Ekin






DIA sudah melupakan cerita pahit yang dilaluinya kira-kira dua tahun lalu. Semuanya sudah menjadi sebahagian dalam sejarah hidupnya.

Demikianlah perasaan Diana Naim ketika ini. Dia bagaikan tidak kisah dengan apa yang berlaku dengan bekas tunangnya yang kini menjadi Bintang Paling Popular 2006/2007, Mawi.

Ina juga seboleh-bolehnya tidak mahu lagi bercakap mengenai Mawi.

Apatah lagi Ina kini sudah cukup bahagia melayari bahtera rumah tangga yang dibina bersama bekas ahli kumpulan In-Team, Mohd Shuhaimi Saad, apatah lagi selepas dikurniakan seorang permata hati comel, Ehmed Hadie Elfardie berusia enam bulan.

Pengumuman majlis pernikahan dan persandingan Mawi bersama gadis pilihan hati, Ekin pada 20 Disember ini tidak memberi perasaan kepada Ina. Tiada apa yang mengejutkan dirinya.

Seperti selalu, apabila ditanya mengenai perkembangan terbaru bekas tunangnya itu, reaksi Ina tenang saja. Dia sekarang tumpang gembira akhirnya Mawi dan Ekin mengumumkan perkahwinan mereka.

"Saya ucapkan tahniah pada Mawi dan Ekin. Semoga Mawi menjadi seorang suami yang soleh, Ekin pula isteri solehah.

Saya melihat mereka sebagai pasangan yang serasi. Saya gembira akhirnya mereka me ngumumkan hari bahagia selepas sekian lama berteki-teki dengan umum.

"Jujurnya, Ina melihat Ekin sebagai seorang gadis baik, peramah dan pandai mengambil hati. Ina dan anak, Elfardie pernah digandingkan dengan Ekin dalam satu fotografi sebuah majalah tidak lama dulu. Ina perhatikan Ekin begitu merendah diri apabila bercerita mengenai Mawi.

"Ekin juga sanggup berubah imej dan masuk ke fasa lebih matang apabila serius bertemankan seorang penyanyi popular yang berimej Islamik.

Pengorbanan besar Ekin dan keikhlasannya perlu dihargai," katanya.

Ina dan Mawi pernah mengikat tali pertunangan selama setahun setengah sebelum Mawi menyertai Akademi Fantasia 3 (AF3).

Bagaimanapun, perhubungan mereka putus di tengah jalan apabila Mawi dan keluarga memutuskan pertunangan pada Julai 2006.

Rezeki, jodoh, ajal dan maut ketentuan-Nya, Ina bertemu dengan Shuhaimi selepas mereka bernaung di bawah syarikat rakaman sama, Hijjaz Records. Mereka akhirnya disatukan pada tanggal 12 Ogos 2007 dan kini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.

Ina berkata, dia belum menerima apa-apa kad undangan, jika diundang, dia perlu bertanya pandangan suaminya dulu.

"Jika menerima undangan daripada mereka, Ina perlu bertanya pada suami terlebih dulu.

Maklum Ina kini bergelar isteri, apa pun yang mahu dilakukan perlu mendapat izin suami terlebih dulu. Kalau suami memberi keizinan, Insya-Allah saya bersama suami dan anak akan menghadiri hari bahagia Mawi dan Ekin," katanya. Bagaimanapun, Ina akui dia juga ada menerima kiriman emel dan surat daripada peminat. Ramai yang tidak menggalakkannya menghadiri majlis pernikahan mahupun persandingan Mawi nanti.

"Tak tahulah apa yang mereka fikirkan. Antara saya dan Mawi sudah sekian lama tiada apaapa, ada sesetengahnya masih tidak boleh menerima dan menghalang Ina daripada menghadiri majlis Mawi dan Ekin. "Mungkin mereka (peminat) sayangkan Ina dan tidak mahu Ina terluka.

"Secara terus-terang, Mawi sudah lama padam dalam hidup Ina, malah kini Ina bahagia dengan kehidupan rumah tangga Ina menganggap Mawi dan Ekin sebagai kawan. Perkara dulu hanya tinggal sejarah yang tak perlu diungkit mahupun dikenang lagi," katanya.

Tuesday, November 4, 2008

Mawi-Ekin hadiri kursus kahwin di Masjid Putrajaya ref mStar



Mawi dan Ekin ketika menghadiri kursus pra perkahwinan di Masjid Putrajaya yang akan disiarkan di Saluran Astro Oasis. -foto Utusan

PUTRAJAYA: Kursus perkahwinan di Masjid Putrajaya mencatatkan 'debaran' pertama bakal pengantin Mawi dan teman wanitanya Ekin.

Bertempat di Masjid Putrajaya, pasangan yang sedang hangat bercinta itu dilihat sama-sama menghadiri kursus perkahwinan hampir satu hari bermula dari 8 pagi hingga 10.30 malam.

Sementelah pihak Astro telah mendapat hak eksklusif untuk membuat liputan khas perkahwinan anak didik istimewanya itu, ramai yang ternanti-nanti bagaimanakah bentuk buah tangan yang akan ditampilkan.

Yang pasti, rakaman kursus kahwin Juara Akademi Fantasia musim ketiga ini, akan disiarkan pada tiga hari berturut-turut dalam tiga bahagian bermula pada 17 Disember.

Sebagai penyiar rasmi majlis perkahwinan Mawi-Ekin yang dijadualkan berlangsung pada 20 Disember ini, di masjid di Johor Bharu, Astro begitu komited untuk memberi yang terbaik untuk tatapan peminat Mawi dan peminat Astro amnya.

Bermula dengan siaran langsung pengumuman khas Mawi mengenai tarikh pernikahannya pada 21 Oktober lalu bertempat di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan yang mana ke udara secara langsung di saluran Awani (Saluran 501), Astro telah menyusun banyak lagi program istimewa sempena majlis itu akan menyusul kemudian.

Antaranya majlis pernikahan, majlis resepsi, dokumentari khas kisah cinta Mawi-Ekin dan majlis resepsi istimewa.

Program-program ini disiarkan melalui tiga saluran iaitu Oasis, Ria serta Prima.

Mawi sendiri terlibat dalam perbincangan dan memberikan idea seperti penetapan tarikh serta konsep.

Difahamkan, krew Astro telah pun turun ke Kulai dan Johor Bahru baru-baru ini untuk membuat rakaman khas program pra-perkahwinan pasangan sensasi itu. Mereka sudah bertemu keluarga kedua-dua pihak untuk membuat rakaman dan wawancara eksklusif.

Program-program istimewa Astro sempena pernikahan Mawi-Ekin.

- 17 Disember 2008 (Rabu) - 9.30 malam Astro Oasis (Saluran 106) Kursus kahwin Mawi-Ekin (Bhg 1)

-18 Disember 2008 (Khamis) - 9.30 malam Astro Oasis (Saluran 106) Kursus kahwin Mawi-Ekin (bahagian 2)

- 19 Disember 2008 (Jumaat) - 9.30 malam Astro Oasis (Saluran 106) Kursus kahwin Mawi-Ekin (bahagian 3)

- 20 Disember 2008 (Sabtu) - 11 pagi Astro Oasis (Saluran 106) Siaran langsung majlis pernikahan Mawi-Ekin

- 28 Disember 2008 (Ahad) - 11 pagi hingga 6 petang Astro Prima (Saluran 105) Siaran langsung majlis resepsi keluarga Mawi dari Felda Taib Andak, Johor Dokumentari kisah cinta Mawi-Ekin

- 11 Januari 2009 (Ahad) - 6 petang Astro Ria (Saluran 104) Dokumentari persiapan persandingan Mawi-Ekin

Thursday, October 30, 2008

Betulkah Mawi akan tinggalkan Maestro ?

TIDAK..jawapannya di sini :

DAKWAAN bahawa Asmawi Ani atau Mawi, 27, akan meninggalkan syarikat rakaman, Maestro Records yang dinaunginya selama ini ternyata sama sekali tidak benar.

Sebaliknya, juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) ini telah menandatangani kontrak perjanjian terbaru bersama Maestro Talent & Management Sdn Bhd untuk tempoh setahun lagi bersama Yazer, Marsha serta Amylea.

Kontrak perjanjian tersebut dimeterai di Restoran Ezzy, Bukit Bintang, petang semalam, disaksikan puluhan tetamu dan wartawan yang hadir bersempena dengan majlis berbuka puasa anjuran Maestro serentak dengan pelancaran album raya bintang AF1 - AF6 berjudul Impian Syawal.

Mawi ketika ditemui murai.com.my berkata perjanjian kontrak selama setahun itu ditangani kerana dia percaya dengan kredibiliti Maestro dalam menguruskan kerjaya seninya.

"Selepas setahun, kita akan tengok macam mana pula situasi dan keadaannya. Kalau ia memuaskan hati kedua-dua pihak, tidak mustahil saya akan sekali lagi bersama dengan Maestro.

"Saya harap dengan termeterainya kontrak perjanjian saya dengan Maestro ini, ia akan dapat menutup segala dakwaan yang tidak benar yang dilemparkan terhadap saya sebelum ini," katanya yang turut ditemani calon isterinya, Ekin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez, berkata kontrak perjanjian yang dimeterai itu memang hanya tertumpu pada 4 bintang AF3 saja iaitu Mawi, Yazer, Marsha dan Amylea.

"Kebanyakan bintang AF3 yang lain sudah mengambil keputusan untuk melepaskan kontrak mereka bersama Maestro.

Misalnya Felix yang kini kembali ke Sabah. Begitu juga dengan Reza yang kini lebih selesa dengan kerjayanya sebagai penyampai radio Era dan hos TV. Ada yang masih mempunyai kontrak bersama kita misalnya Kefli.

"Ikut perancangan, Mawi akan muncul dengan album qasidah keduanya. Yazer pula dengan album pertamanya bersama M Nasir tidak lama lagi manakala album pertama Marsha dan Amylea sedang disiapkan," katanya.




Dengan perjanjian ini, Freddie berharap ia akan dapat menangkis tanggapan segelintir pihak bahawa pihaknya tidak pernah berbuat apa-apa dengan pelajar AF yang lain.

"Dengan situasi penjualan album yang lembab, memang sukar untuk pastikan semua album bintang AF ini akan mendapat sambutan apabila ia sudah berada di pasaran kelak. Sebab itu, kita ada perancangan sendiri.

"Kadangkala, kita sudah tentukan hala tuju mereka dalam industri ini tetapi fokus mereka tiba-tiba beralih kepada bidang seni yang lain. Ini perkara biasa," katanya.

Mengenai album Impian Syawal yang baru dilancarkan, Freddie berkata, penghasilan album raya tersebut adalah satu kesinambungan terhadap album raya yang pernah dihasilkan dulu.

"Namun bezanya kali ini, ia mempunyai penambahan 7 trek terbaru nyanyian bintang AF6 yang dicipta oleh beberapa komposer muda yang berbakat besar. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menambahkan koleksi lagu raya lama yang telah sedia ada," katanya.

Antara lagu baru yang dimuatkan ialah Raya Datang Lagi nyanyian Stacy, Syawal Kemaafan (Riz), Segaris Bulan Sabit (Nubhan), Syawal Di Rantauan (Toi) serta Sketsa Menjelang Raya (Nadia). / Murai.com


Mawi akan muncul dengan album qasidah keduanya

Wednesday, October 22, 2008

Mawi dibayar RM 5 juta oleh Astro ????

Rabu Oktober 22, 2008

Mawi nafi terima habuan RM5 juta dari Astro

Oleh WAHIDA ASRANI

SETELAH membiarkan pelbagai pihak membuat spekulasi tentang perkahwinan mereka, penyanyi popular Asmawi Ani atau lebih dikenali dengan panggilan Mawi ini akhirnya meleraikan juga segala macam teka-teki yang bermain di benak fikiran ramai tentang hubungan cintanya bersama pelakon dan model, Nora'Ashikin Rahmat yang mesra disapa Ekin itu.

Mengotakan janji untuk mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan majlis bersejarahnya itu, Mawi akhirnya mengesahkan bahawa dirinya dan pelakon yang pernah popular menerusi drama bersiri Kawan itu akan menyatukan cinta mereka pada 20 Disember depan.
Mawi bersama bakal isterinya, Ekin melihat kad jemputan kahwin mereka. -foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

Berlokasikan Palace of the Golden Horses, Mawi yang tampil segak dengan sut putih muncul bersama kekasih hatinya itu di hadapan berpuluh-puluh pihak media dan mengumumkan majlis perkahwinan mereka yang turut disiarkan secara langsung di Astro Awani pada jam 2.30 petang semalam.

Pernikahan pasangan selebriti ini akan berlangsung di salah sebuah masjid di Johor Bahru pada hari tersebut dan akan diikuti dengan persandingan pihak perempuan di Stadium Tertutup Johor Bahru pada sebelah malamnya dengan berkonsepkan moden kontemporari.

Majlis resepsi pihak lelaki pula akan diadakan pada 28 Disember di Dewan Felda Taib Andak, Kulai dengan tema Jawa yang akan turut diselitkan elemen kuda kepang yang mana tema tersebut dipilih sendiri oleh jejaka berusia 27 tahun itu.

Djangkakan kira-kira 15,000 tetamu termasuk para peminatnya akan hadir memeriahkan majlis itu memandangkan lokasi yang dipilih itu sesuai untuk kehadiran jumlah tetamu yang besar.

Menariknya, sehari sebelum resepsi itu, Mawi juga bakal mengadakan konsert istimewa bersama rakan-rakan AF yang lain secara percuma untuk peminatnya pada 27 Disember di Padang Felda Taib Andak, Kulai.

Konsert tersebut dianggap Mawi sebagai 'hadiah' untuk peminat-peminatnya yang banyak memberi sokongan terhadap karier seninya itu.

Bukan setakat itu saja, sebuah resepsi istimewa bercirikan ala-Arab di Palace of The Golden Horses juga bakal diadakan pada 11 Januari depan yang bakal dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan khas termasuklah rakan-rakan artis.
Mawi dan Ekin tenang menjawab semua soalan yang diajukan media tentang perkahwinan mereka - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

Seperti mana perkahwinan gilang-gemilang Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Muhamad Jiwa yang disiarkan secara langsung di TV3 dua tahun lalu, kali ini majlis hebat Mawi dan Ekin juga akan disaksikan oleh jutaan penonton menerusi tiga saluran Astro iaitu Ria, Prima dan Oasis yang mendapat hak eksklusif untuk menyiarkan sepenuhnya majlis perkahwinan pasangan selebriti ini.

Mawi dan Ekin akan turut menghadiri kursus kahwin pada 4 November ini di Masjid Putrajaya yang mana kursus khas yang disediakan oleh pihak Astro Oasis itu akan turut dirakam dan disiarkan di saluran tersebut di dalam tiga segmen bermula pada 17 hingga 19 Disember.

Saluran itu akan turut menyiarkan secara langsung majlis akad nikah pada 20 Disember bermula jam 11 pagi manakala pada 28 Disember, Astro Prima pula akan bertindak selaku penyiar rasmi majlis resepsi Mawi pada jam tujuh malam.

Astro Ria pula akan menyiarkan resepsi istimewa di Palace of the Golden Horses pada pukul 7.30 malam.

Lengkap maklumat perkahwinan yang diumumkan oleh Mawi itu sekaligus melenyapkan pelbagai andaian tentang tarikh perkahwinan pasangan tersebut yang mula menjadi topik hangat sejak mereka mendedahkan kisah cinta mereka Mac lalu di majlis Anugerah Bintang Popular di Genting Highlands.

Dari riak wajahnya ketika sidang media tersebut, Mawi dilihat agak gementar walaupun akui dirinya berasa lega setelah mendedahkan apa yang 'tersembunyi' selama ini. Begitu juga Ekin yang dilihat sering menguntum senyuman.

Satu demi satu soalan yang diajukan oleh pihak media sepanjang sidang tersebut dijawab sebaik mungkin oleh Mawi dan Ekin. Malah sesi soal jawab itu turut berpanjangan sehingga hampir jam 5 petang oleh media yang berterusan mengajukan pelbagai pertanyaan terhadap pasangan ini.

"Hari ini adalah hari yang paling bahagia buat diri saya. Ramai yang tertanya-tanya dan berteka-teki sebelum ini dan hari ini saya sudah tunaikan janji saya untuk mengumumkan hal ini selepas Hari Raya.

"Apa yang boleh saya katakan, Ekin adalah 'orangnya' yang juga teman ketika waktu suka dan duka saya. Saya bersyukur kerana selama kami berkenalan, dia amat memahami karier saya dan apa yang lebih penting, saya gembira melihat Ekin dapat buat ibu saya tersenyum dan ketawa setiap kali mereka bersama.

"Ibu saya, Ramlah Sarlan, seorang yang susah untuk senyum mahupun berbual dengan orang. Sebab itu bila saya lihat dia sering gembira bila bersama Ekin, saya turut rasa seronok," kata juara Akademi Fantasia musim ketiga itu sambil tersenyum memandang Ekin yang berada di sebelahnya.

Ditanya bilakah lamaran dibuat terhadap kekasihnya itu, kata Mawi, ia dilakukan menerusi perbualan telefon yang dibuat semasa penyanyi itu berada di Syria bagi menjayakan rakaman program Astro Oasis, Mawi Di Bumi Anbia pada 30 April lalu.
Pasangan yang bakal bergelar suami isteri ini mempamerkan kad jemputan perkahwinan mereka yang ditempah di Jakarta - foto THE STAR oleh SHAARI CHEMAT

"Selepas habis rakaman, saya hubungi dia dan hanya cakap "kita kahwin bulan 12". Itu saja. Setelah pulang ke Malaysia, orang pertama yang saya beritahu tentang lamaran tersebut ialah kakak saya.

"Keluarga saya kemudiannya pergi merisik pada bulan Jun lalu dan dari situlah kami tetapkan segala perancangan untuk berkahwin. Kami putuskan untuk tidak bertunang, tetapi terus nikah saja pada tarikh tersebut.

"Tidak ada apa-apa yang istimewa pun tentang pemilihan tarikh 20 Disember itu. Memandangkan waktu itu adalah cuti persekolahan, jadi saya rasa itu adalah masa yang sesuai untuk langsungkan majlis tersebut dan peminat juga boleh datang meraikan bersama," kata Mawi yang menambah persiapan menjelang hari bahagia mereka sudah pun siap kira-kira 50 peratus.

Ekin pula ketika ditanya perasaanya tentang perkahwinan yang bakal berlangsung, pelakon berusia 29 tahun itu akui dia sememangnya agak gementar namun sudah bersedia untuk bergelar isteri kepada penyanyi yang pernah mendapat jolokan Raja SMS itu.

"Saya agak terkejut juga bila dia melamar saya pada waktu itu. Dia cakap, dia sudah buat keputusan untuk berkahwin dengan saya.

"Memang banyak cabaran yang saya lalui, tetapi dalam tempoh tersebut, Mawi banyak memberi sokongan. Begitu juga dengan keluarga saya.

"Lama-kelamaan, saya semakin kenal erti kesabaran dan Insya-Allah, saya berharap dapat menjadi isteri yang solehah," tutur kembar kepada pelakon Nore'Ain Rahmat atau Ain ini.

Mengimbas kembali kisah cinta pasangan ini, Mawi dan Ekin mula mencuri perhatian media sejak jejaka berasal dari Felda Taib Andak, Johor itu memutuskan pertunangan dengan penyanyi Ina Naim yang menjadi antara topik panas di media-media tempatan.

Pelbagai cerita yang timbul ekoran kes itu dan sudah tentu, Ekin yang mula berkenalan dengan penyanyi tersebut pada Februari 2007 menjadi 'mangsa' kutukan peminat-peminat setia Mawi yang merasakan Ekin adalah punca kepada kegagalan hubungan Mawi dan Ina.

Walaupun berkali-kali penjelasan dibuat oleh Mawi mahupun Ekin yang menegaskan hubungan mereka terjalin atas dasar persahabatan, pasangan ini tetap menjadi buruan media lebih-lebih lagi apabila tersebarnya pula gambar Mawi bersama Ekin sekeluarga ketika penyanyi itu berkunjung ke rumah keluarga pelakon itu sempena Hari Raya tahun lalu.

Di mana-mana saja majlis yang dihadiri oleh Mawi, soalan berkisarkan hubungannya bersama Ekin tidak pernah lekang diajukan oleh media.

Ditambah pula dengan khabar angin yang mengatakan pasangan itu dalam diam-diam sedang merancang untuk berkahwin. Sehinggalah Mac lalu apabila Mawi akhirnya mendedahkan dia dan Ekin sememangnya mempunyai hubungan istimewa yang terbentuk setelah persahabatan yang terjalin antara kedua-duanya sebelum ini menampakkan keserasian.

"Pada awalnya, kami hanya berkawan setelah diperkenalkan oleh rakan. Saya lihat dia seorang yang 'sempoi'. Kami sering keluar makan bersama sebagai kawan saja. Dari situ, kami mula sedar ada keserasian," tutur Mawi.

Ekin yang berada di sebelah penyanyi itu turut mencelah dan menyifatkan Mawi adalah seorang yang ceria, memahami dan 'sporting' yang membuatkannya tertarik untuk meneruskan hubungan di tahap yang lebih serius.

Mengulas lanjut tentang majlis perkahwinan mereka, kata Mawi, segala persiapan sedang terus dibuat oleh pasangan tersebut dengan bantuan keluarga, pihak Astro dan pihak-pihak tertentu.

Mawi bagaimanapun tidak mendedahkan tentang wang hantaran yang bakal diberikan kepada Ekin kelak dan dalam nada ceria hanya berkata: "Hantaran masih lagi sedang dibincangkan. Saya pun tak tahu lagi berapa (jumlah) kerana setiap kali saya bertanyakan kepada ibunya, dia akan cakap tidak kisah berapa pun."

Namun, pasangan ini mengesahkan sebanyak sembilan dulang hantaran akan diberikan oleh pihak Mawi kepada Ekin manakala 11 buah dulang akan dibalas oleh pihak Ekin.

Pada majlis akad nikah dan persandingan di pihak perempuan, pasangan tersebut akan menggayakan busana rekaan Cosry manakala pelamin akan direka khas oleh Naz Great Idea.

Resepsi seterusnya di pihak Mawi pada 28 Disember pula, busana dan pelamin akan diuruskan oleh Zulfazli yang akan menggunakan baju rekaan Arma Couture untuk digayakan oleh bakal pengantin ini.

Busana yang bakal dipakai oleh Mawi dan Ekin pada resepsi istimewa di Palace of the Golden Horses pula akan melibatkan beberapa pereka fesyen terkenal dan antara yang telah disahkan ialah Rizalman dan Bon Zainal.

"Saya akui, memang ramai penaja yang terlibat di dalam majlis ini. Tetapi bukanlah semuanya ditaja, ada juga yang saya keluarkan duit sendiri. Kalau diikutkan, saya memang hanya inginkan majlis yang sederhana.

"Tetapi, saya juga serba-salah. Kalau buat kecil-kecilan, nanti orang kata saya kedekut. Tetapi kalau buat secara besar-besaran, orang akan cakap saya menunjuk-nunjuk pula.

"Apapun, saya rasa apa yang saya buat ini adalah satu cara untuk balas jasa peminat. Saya mahu mereka semua dapat memeriahkan majlis saya itu nanti. Sebab itu saya juga ingin adakan konsert istimewa buat mereka semua sehari sebelum resepsi di Kulai. Konsert itu adalah impian saya sebenarnya.

"Saya sendiri turut mendapatkan bantuan penduduk-penduduk kampung saya di Felda Taib Andak untuk menguruskan majlis resepsi saya nanti agar dapat berjalan dengan lancar," kata Mawi yang masih belum memutuskan senarai tetamu jemputan khas mahupun golongan VIP yang akan dijemput pada majlis itu.

Kad jemputan perkahwinan mereka yang ditempah khas di Jakarta, Indonesia juga akan diedarkan kelak.

Ditanya sama ada benar khabar angin yang mengatakan pasangan ini akan dibawa ke tempat berlangsungnya majlis persandingan mereka dengan menggunakan helikopter, Mawi secara ringkas menjawab:

"Mungkin. Mungkin di resepsi saya di Felda Taib Andak."

Mengulas tentang perancangan selepas berkahwin nanti, kata Mawi, karier seninya akan bergerak seperti biasa dan dia juga tidak menyekat Ekin untuk meneruskan kerjaya seninya jua.

"Saya tidak pernah menyekat dia untuk terus berada di dalam industri ini. Itu terpulang kepada dirinya, saya tidak halang. Bagi diri saya sendiri, pastinya karier saya akan berjalan seperti biasa.

"Saya juga berhasrat untuk lebarkan karier di dalam bidang penyiaran pula...mungkin sebagai hos. Tetapi bidang nyanyian tetap akan menjadi keutamaan saya. Begitu juga dengan tawaran berlakon, jika ada watak yang bersesuaian, saya akan pertimbangkan," katanya.

Ekin juga tidak menolak andai kata ditawarkan untuk menjadi hos bersama Mawi untuk mana-mana program kelak.

"Tidak salah kalau saya mencuba kalau ada peluang. Tentang bidang lakonan pula, tengoklah dulu macam mana tawarannya. Saya pun memang sudah lama tidak berlakon. Dulu saya terpaksa berhenti seketika kerana tidak tahan dengan macam-macam kontroversi yang melanda," akui Ekin.

Habuan RM5 juta daripada Astro tidak benar

Tatkala spekulasi tentang majlis perkahwinan pasangan ini rancak diperkatakan, isu hak eksklusif untuk siaran majlis hebat itu juga menjadi bualan banyak pihak. Stesen Media Prima dan Astro dikatakan saling 'membida' untuk mendapatkan hak siaran tersebut.

Mawi dikatakan juga menerima bayaran sebanyak RM5 juta daripada Astro agar stesen tersebut dapat menjadi penyiar rasmi majlis mereka.

Diajukan perkara ini kepada penyanyi tersebut, Mawi bagaimanapun menafikannya.

"Itu tidak benar," kata Mawi, ringkas.

Perkara itu dijelaskan dengan lanjut oleh Pengarah Eksekutif Astro Entertainment, Zainir Aminullah yang turut hadir pada sidang media tersebut yang menyifatkan jumlah tersebut tidak relevan.

"Majlis itu adalah sesuatu yang istimewa tambahan pula Mawi adalah kelahiran daripada produk Astro sendiri iaitu menerusi Akademi Fantasia. Isu jumlah bayaran itu memang tidak relevan kerana apa yang boleh saya katakan, kami di Astro hanya ingin memberikan persembahan yang terbaik kepada peminat-peminat dan penonton Astro.

"Saya akui, banyak juga kos yang dikeluarkan untuk seluruh program sempena perkahwinan Mawi ini, apatah lagi ia melibatkan tiga saluran Astro iaitu Oasis, Ria dan prima.

"Tetapi tidak timbul isu kami membeli 'hak' atau sebagainya. Ini adalah kerjasama yang kami buat bersama Mawi. Dia juga turut menghadiri mesyuarat yang kami jalankan setiap minggu untuk memberikan idea bersama," kata Zainir.

Menurutnya, perancangan untuk menyiarkan majlis perkahwinan selebriti itu dibuat setelah Astro sendiri mendapat tahu bahawa Mawi sedang membuat persiapan untuk menamatkan zaman solonya.

"Kita tidak pernah terfikir untuk 'berlawan' dengan mana-mana stesen televisyen. Sebenarnya di pihak Maestro iaitu label yang menguruskan karier Mawi, perancangan itu memang sudah lama dibuat, cuma di pihak Astro saja kami baru mulakan perancangan ini beberapa bulan lalu.

"Bukan untuk mendapat 'rating' atau sebagainya, tetapi kami menganggap Mawi adalah sebagai anggota keluarga Astro. Jika dapat menaikkan rating, baguslah. Tetapi jika tidak pun, kami sudah cukup gembira kerana dapat memberikan persembahan menarik untuk peminat-peminatnya," jelas Zainir.


http://www1.mstar.com.my/

Sunday, September 21, 2008

Hebahan UMUM - blog baru GAP

Ni 'wasiat' GAP kepada Panglima Perang Cyber ( http://penembak-tepat.blogdrive.com ) dan minta dismskan dlm semua blog alif ba ta...



" salam pang 5 perang...

tk ..minta tolong adervertisekan ayat aku kat blog kau boleh tak...

ayat macamni

'blog gap kena hack. sila taip penuh alamat http://gerakan-anti-pkr.blogspot.com untuk layari'..

tk byk2 bro.."

Tuesday, September 16, 2008

Mawi melawak ketika melamar Ekin

CINTA, sesuatu yang indah dan mengasyikkan meskipun pelbagai rintangan yang datang. Itulah yang dilalui wanita kelahiran Johor Bahru ini sebelum takdir menemukannya dengan jejaka idaman ramai.

Nora’asikin Rahmat atau Ekin barangkali tercatat sebagai wanita paling banyak mendapat publisiti daripada media sejak setahun kebelakangan ini.

Semua ini berlaku kerana dia menjadi wanita yang berjaya mengisi kekosongan dalam hidup penyanyi lelaki nombor satu negara Asmawi Ani.

Khabar yang paling bertiup kencang di kalangan media, Ekin dan Mawi bakal disatukan Disember ini.

Diajak berbual mengenai hubungan cintanya dengan juara Akademi Fantasia musim ketiga itu, Ekin mengakui, tidak pernah terlintas di fikirannya dengan apa yang bakal singgah dalam kehidupannya sementelah pencintaan mereka diuji bukan sedikit.

“Saya bersyukur kerana setelah pelbagai suka duka percintaan kami tempuhi akhirnya pengakhiran yang menggembirakan menjelma dalam hidup saya.

“Saya sendiri tidak menyangka, namun apa yang bakal terjadi ini apa yang boleh saya katakan merupakan berkat doa orang ramai juga” jelas Ekin mengenai perkahwinannya kepada Hits dalam satu pertemuan, baru-baru ini.

Menyambung bicara dalam nada yang lembut Ekin dan Mawi sebetulnya sudah sepakat untuk menoktahkan hubungan cinta mereka dalam waktu terdekat ini.

“Orang asyik tanya bila kami nak kahwin. Sana sini orang meneka dan meramal apakah kami akan berkahwin Disember ini.

“Fikir-fikir semula, ada bagusnya juga majlis tersebut dilakukan pada penghujung tahun ini kerana selepas semuanya selesai kita akan menempuh fasa kehidupan baru di tahun yang baru. Kita boleh lupakan segala masalah dan mulakan hidup baru,” katanya sambil tersenyum manis.

Bagi Ekin, tiada sebab khusus mengapa bulan Disember dipilih sebagai bulan penyambung kasih antaranya dan Mawi.

“Bulan Disember tak sibuk sangat dan dia (Mawi) pun tak terlibat dengan banyak projek. Lagipun Disember bulan cuti sekolah, senang nak buat majlis,” rancak Ekin berkongsi cerita.

Ditanya mengenai persiapan kahwin jelas pelakon bersiri Kawan ini semuanya masih belum diadakan.

“Tarikh belum tahu lagi tapi Mawi kata akan umumkan selepas raya sebab buat masa sekarang jadual dia sangat penuh.

“Jadi persiapan pun belum dibuat lagi. Memang ada penaja yang nak menaja tapi semuanya kami tak boleh nak terima lagi. Takut kalau terima nanti kelam kabut pula apabila tarikh ditunda-tunda,” jelas personaliti yang semakin anggun pada usia 29 tahun ini.

Melamar dalam melawak

Sengaja diusik bagaimanakah Mawi melamarnya dalam ketawa besar Ekin mendedahkan: “Mawi seorang yang kelakar. Dalam lawak dia kata kita kahwin nak tak?

“Saya ingat dia tipu tapi dia bercakap dengan penuh semangat dan siap kata nak beritahu perkara tersebut kepada keluarganya dalam masa terdekat. Memang saya ingat dia tipu-tipu pada mulanya.”

Akui Ekin, bukanlah populariti dan kekayaan yang ada pada jejaka berbintang Virgo tersebut yang menjadi pilihannya.

Sebaliknya, hati Ekin terpaut pada lelaki berkenaan kerana budi bahasa dan sikap Mawi yang membuka hatinya menerima cinta lelaki tersebut.

“Apabila berkawan dengan Mawi, dia banyak beri nasihat dan menenangkan saya tatkala saya mempunyai masalah.

“Dia banyak bagi galakan dan sokongan kepada saya untuk bangun semula selepas menempuh pelbagai perkara,” jelas Ekin mengenai usia perhubungan mereka yang sudah memasuki dua tahun.

Memilih untuk bercinta dengan Mawi, Ekin mengakui, ia bukan suatu perkara yang mudah.

Cacian, nista dan kata-kata kurang manis sering singgah di telinganya dengan pelbagai dakwaan yang mengguris perasaannya.

Namun, Ekin reda dan pasrah bahawa semua itu ketentuan Yang Maha Esa yang memberinya kekuatan untuk kuat dan menempuh keadaan itu dengan baik.

“Kalau hati tak cekal memang dah lama kami tak berkawan. Bayangkan macam-macam benda saya kena fitnah di awal persahabatan kami.

“Satu peringkat, saya sampai tak nak keluar rumah dan membaca Internet sebab takut dengan kata-kata orang. Tapi syukur kerana Tuhan membantu mempermudahkan juga perhubungan kami,” ujarnya tenang tatkala mengimbas suka dukanya dalam menjalinkan ikatan cinta bersama penyanyi lelaki yang didambakan sebilangan besar wanita.

Satu yang pasti terang Ekin, momen indah dalam hidupnya yang tidak mungkin dilupakan saat Mawi mengisytiharkan cinta mereka di puncak Genting Highlands sekitar penghujung Mac lalu.

Tidak romantik

Sengaja ingin mengupas apakah bintang realiti itu memenuhi ciri-ciri lelaki idamannya terang Ekin: “Saya senang dengan perangai dia yang brutal dan gila-gila. Mula-mula memang tak selesa dengan dia sebab kasar. Tapi apabila kita semakin rapat lama kelamaan saya fikir biarlah dia macam itu. Saya pun kasar dan kami ini sekepala.”

Jelas model produk kecantikan R & Z dan tudung Ariani (Jakel) ini semestinya sebagai seorang wanita dia juga teringin bercinta seperti pasangan kekasih yang lain, namun dia memahami situasi penyanyi popular tersebut.

“Memanglah teringin nak candle light dinner, tapi dah perangai dia bukan romantik jadi tak akan saya nak paksa.

“Mula-mula dia ada tanya juga okey ke dia macam itu, apa yang boleh saya katakan saya belajarlah menerima keadaan tersebut. Saya juga kena faham dengan keadaan dia. Kalau nak keluar kami tak boleh keluar berdua sebab takut peminat serbu dia, nanti saya juga panik tak tahu nak buat apa.

“Jadi lebih selamat dan baik keluar ramai-ramai apabila orang datang berebut-rebut nak bergambar ada juga kawan-kawan dia tolong menenangkan keadaan,” katanya yang mengharapkan agar hubungannya bersama Mawi akan kekal berpanjangan hingga ke akhir hayat.- UTUSAN

Tuesday, September 9, 2008

Anak Tun Mahathir sudah ada laman web sendiri , untuk lawan blog Khairy ?

No komen.

cuma biasalah dalam politik kena ke hadapan.

Sebagai anak bongsu Tun Mahathir tentu ada sesuatu keistimewaan Tun harap dan akan berikan untuk anak kesayangannya ini.

Khairy juga tentu ada kedudukan istimewa di sisi Pak Lah lantaran mengahwini anaknya Nori.

Cuma kita tidak tahu ke tahap manakah persaingan mereka.

yang pasti Khaiy sudah menjadi kambing hitam dalam keluarga Pak Lah.

Dihitamkan oleh sesiapa yang iri hati dengan beliau !

Kerja sapa ?

Anda kena korek dan fikir sendiri ........

Mana laman Mukhriz ?

sini : http://www.mukhriz.com/

Mana laman Khairy ?

sini : http://www.prokhairy.com/


Orang ikhlas dan jujur akan nampak juga akhirnya....

Sabar separuh dari tanda orang beriman !

Thursday, August 21, 2008

Tuesday, August 19, 2008

ANWAR DICIUM LELAKI ; PEMINAT ATAU ?

Anwar dicium dengan rakusnya hingga menaikkan bulu roma saya !

Posted on August 14, 2008. Filed under: Uncategorized | Edit This

saya sebenarnya bertemu gambar ini di tempat ini ( blog pembela melayu ) dan saya rasa tujuan dia mungkin bagi menaikkan hits di blog beliau. Dan saya setuju tajuk beliau dengan gambar ini sangat menarik.

Kerana dari segi etika kewartawanan fakta mesti jelas dan bagus ada disertakan gambar sekali termasuk dengan tajuk sensasi yang boleh menarik minta pembaca hingga mereka tidak sabar membaca satu persatu tulisan kita.

Saya sekadar menggambarkan bagaimana kecintaan penyokong Anwar terhadap beliau walaupun apabilamelihat gambar adengan dicium ini dan ketika membuat artikel ini, saya merasa bulu meremang hingga ke kepala atas.

Namun saya teruskan juga untuk menunjukkan bahawa Anwar mempunyai ramai fanatik yang sanggup berkorban apa sahaja untuk ANwar. Dan tidak teragak agakmenunjukkan taat setia dan kasih sayang termasuk mencium beliau dengan sungguh sungguh seperti gambar di atas yang bagi saya yang suka baik sangka ; ibarat antara bapa dengan anak.

Jangan anggap seperti kekasih kepada kekasih walaupun budaya arab mencium pipi adalah kebiasaan adat mereka. not us. Lagilah adat geng homo di Amerika perkara ini memang adat dan amalan harian diorang siap ke peringkat yang ‘ sukar’ diluarhkan di sini untuk mengelakkan ramai berminat mencubanya.

Nauzubillahiminzalik.

Terfikir juga isu liwat ini menjadikan ramai penyokong Anwar akan membenarkan perbuatan ini atas dasar emosi dan mereka sedikit demi sedikit akan membela hingga tidak tersedar sudah sudah jatuh ke dalam lobang!

Moga ada manfaatnya gambar ini disalin semula untuk memberitahu kawan kawan semua bahawa jangan memandang rendah kepada Anwar kerana beliau memiliki pengikut yang sangat kasihkannya hingga tidak kisah menciumnya seperti seperti di atas…

Maaf setakat ini sahaja kerana bulu roma saya masih meremang …..

Moga perbuatan kaum Nabi Lut tidak ramai di Malaysia. Bimbang ada bumi diterbalikkan lagi kerana murka Allah Yang Maha Esa…


dari : http://gosippolitikmalaysia.wordpress.com

Bush di Permatang Pauh bersebelahan dengan Anwar !

Terbaru Gus Dur telah dipanggil untuk menjelaskan isu liwat setelah ia menjadi satu tragedi baru hidupan seorang ahli politik kesayangan Amerika Syarikat dan orang Yahudi dengan harapan baru menangkis segala tohmahan dari Barisan Nasional di pertarungan sengit antara hidup dan mati kerjaya politik Anwar.

Gus Dur yang tidak relevan di Indonesia telah diminta bantuannya membersihkan ‘najis terpalit’ di baju Anwar dan ia satu lagi ‘pencerobohan’ pihak luar terhadap negara kita Malaysia. Adakah ada rakyat memerlukan Gus Dur berfatwa sedangkan beliau adalah orang dari Indonesia ? Adakah tidak cukup alim ulamak Malaysia ? adakah Anwar memilih yang akan berbicara mengikut skrip yang beliau sediakan ?

http://www.indonesiamedia.com/images/dec99/dec99cover-b.jpg

Selepas hampir mendaki puncak kegemilangan politik dan disingkirkan dengan mendadak oleh Allah 10 tahun lalu, inilah percubaan kali kedua Anwar ingin mendaki ke atas kerusi PM dengan tidak menghiraukan lagi segala aturan kebiasaan, dengan menjadikan jalan belakang sebagai alternatif bagi merealisasikan hasrat beliau - dan bosnya ? - bagi memerintah negara Islam Malaysia…

Namun setelah didedahkan dengan begitu nyata dan jelas Anwar terpaksa memilih pendekatan ‘ menelanjangkan ‘ diri sebelum ‘ditelanjangkan’ oleh blogger Alif Ba Ta yang saban waktu memberikan maklumat penting dan berguna kepada suffers yang begitu ghairah mencari bahan berita dan ulasan berkenaan beliau saat ini seperti AnwarDotCom ( klik sini ).

Separuh rakyat Malaysia sekarang bergantung kepada internet kerana mereka telah dimudahkan kerajaan dengan prasarana internet yang luas termasuk penggunaan Broadband yang ditawarkan oleh Maxis, Celcom dan Digi termasuk juga hotspot Streamyx di merata tempat terutama di bandar bandar besar negara kita. Bermakna keputusan pengundian bergantung juga keberkesanan media siber menjalankan penerangan mereka….

Justeru penerangan di internet telah digiatkan dan inilah hasilnya apabila Anwar terpaksa meletakkan gambar semua kawan kawannya pemimpin besar dunia di pajero rasmi kempen beliau setelah banyak sokongan diterima dari Indonesia, Kanada, Amerika dan juga pemimpin agama Islam ala Amerika seperti Dr Taha Jabir Al Alwani, Orientalis terkenal di Amerika John Espotio dan John O Voll dan ramai lagi, dipromosi oleh kebanyakan media pro Anwar dan Pakatan Rakyat..

Akhirnya Anwar tahu dengan menayangkan gambar Bush Presiden Amerika semasa kempen Permatang Pauh, ANwar membuktikan segala tuduhan beliau baik dengan Amerika adalah betul dan beliau sendiri nampaknya bangga barangkali dengan hubungan tersebut walhal kita telah lama menerangkan kepada rakyat tentang hubungan istimewa tersebut yang tidak dimiliki oleh mana mana pemimpin Malaysia yang lain..


Meletakkan gambar Presiden Amerika ; Bush di Permatang Pauh menjadikan Anwar sebenarnya membunuh ‘ dirinya sendiri’ dan rakyat akan makin muak dengan Anwar ; bukan bangga dengan beliau. Kerana semua tahu yang mencetuskan huru hara di dunia sekarang ini ialah Amerika yang menggunakan segala agen dan institut tajaannya untuk Hegemoni Amerika di seluruh dunia. Bahkan tentera Amerika juga berada di mana mana tempat strategik di dunia dengan alasan mereka Polis Dunia yang perlu menjaga keamanan dunia, sedangkan mereka sebenarnya bercita cita menjadikan dunia di bawah kuasa mereka…

Lihatlah gambar Bush di Permatang Pauh dan anda fikirkanlah sendiri bagaimana Anwar semakin terdesak untuk menang di tempat paling kuatnya ketika ini sedangkan pengundi belum tentu memberikan undi mereka kepada Anwar seperti mana sebelum ini. Apatah lagi isu sumpah liwat sangat memberi kesan kepada ‘pengundi atas pagar ‘ yang belum tentu terpesona dengan gambar Bush di pajero kempen PKR dan Pakatan Rakyat tersebut.

Adakah anda masih percaya Bush tidak kenal Anwar seperti mana orang biasa macam kita ? adakah BUSH menjadi ‘tawassul’ Anwar untuk kemenangannya di P44 ( pukul mati mati - ikut bahasa cina ) 26 Ogos depan ????

Apa pun sebenarnya 31 Ogos depan akan menjadi lebih bermakna jika Anwar boneka Amerika berjaya disingkirkan kerana merdeka atau tidak kita selepas ini bergantung menang atau tidak Anwar nanti tidak lama lagi !!!

Berusahalah hingga titisan peluh terakhir demi mempertahankan Bangsa Agama dan Negara dari dijajah secara halus kali kedua…

Marilah kawan kawan, marilah semua rakyat Malaysia !

Merdeka !!!! Merdeka !!! Merdeka !!!

http://hardyw3b.files.wordpress.com/2007/08/merdeka.jpg?w=427&h=319&h=319

blog asal : http://pejuang-melayu.blogspot.com

Friday, August 15, 2008

Saiful menggegarkan Malaysia sumpah diliwat dengan nama Allah !


Saiful bersumpah 'mubahalah' di Masjid Wilayah
15-08-2008 08:08:09 PM
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ

Saiful (kanan) yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpahnya. -foto THE STAR oleh Azman Ghani

(Dikemas kini) KUALA LUMPUR: Selepas lebih seminggu kes diliwat disebut di mahkamah, Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan sumpah mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini petang ini.

Saiful, 23, memilih hari Jumaat untuk menyempurnakan upacara sumpahnya.

Pada pukul 6.23 petang, Saiful yang berpakaian baju Melayu warna coklat dengan songkok sambil diperhatikan oleh ayahnya, Azlan Mohd Lazim yang berbaju Melayu biru telah melafazkan sumpah.

Turut menyaksikan upacara itu ialah Imam Masjid Wilayah Persekutuan dan bapa saudara Saiful, 'Uncle Pet.'

Sambil memegang al-Quran, Saiful yang duduk bersila di atas sejadah sambil mengadap kiblat dan diperhatikan bapanya, telah memulakan upacara 'bermubahalah' dimulai dengan mengucap dua kalimah Syahadah sebanyak tiga kali dan bacaan Al-Fatihah.

"Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut....A'uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi...Wabillahi....Wata'alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam."

Sejurus selepas upacara bersumpah itu, Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi kemudian terus bergegas meninggalkan masjid tanpa memberi peluang kepada pihak wartawan untuk menemuramahnya.


Saiful memeluk bapanya, Azlan dan menerima ciuman bapanya di dahi sejurus membacakan sumpah 'mubahalah'.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap Saiful pada Jun lepas.

Anwar, 61, dituduh melakukan perbuatan itu terhadap Mohamad Saiful, 23, pada antara 3.01 petang dan 4.30 petang 23 Jun 2008 di unit 1151 Desa Damansara Condominium, No 99, Jalan Setiakasih Bukit Damansara di sini.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Anwar dibebaskan atas bon peribadi RM20,000.

Kes itu akan disebut semula pada 10 September dan kemungkinan akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majlis Wilayah Persekutuan terletak berdekatan dengan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Upacara itu diadakan sehari sebelum Anwar mengemukakan borang pencalonan untuk bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Permatang Pauh.

Tinjauan mendapati sebelum itu Saiful melakukan sumpah, pihak media telah berkumpul sejak selepas Asar tadi setelah diberitahu upacara sumpah 'mubahalah' akan dilakukan oleh Saiful.

Sebelum itu, Saiful didapati telah hadir di masjid tersebut sekitar pukul 4.30 petang tadi.

Dalam pukul 5.30 petang tadi, lebih kurang 30 wartawan cuba menyelinap masuk ke dalam Masjid Wilayah Persekutuan untuk melihat apa yang berlaku tetapi telah dihalau oleh pihak keselamatan pada mulanya.

Apabila ditanya kenapa wartawan dihalau, pihak keselamatan berkata itu, adalah arahan pihak atasan.

Bagaimanapun, pihak wartawan berjaya juga memasuki masjid itu.

Difahamkan, Saiful telah 'disorokkan' di salah sebuah bilik dalam masjid itu.

Kelihatan dua orang pengawal keselamatan bersama seorang lelaki dan dua orang wanita sedang menunggu di hadapan pintu bilik tersebut yang sementara di hadapan pintu pejabat pentadbiran masjid, kelihatan seorang lelaki yang memakai baju Melayu berwarna ungu sedang berbual-bual dengan pengawal keselamatan.

Juga kelihatan bapa saudara Saiful, yang lebih dikenali dengan nama 'Uncle Pet' sedang bercakap dalam telefon bimbitnya dan dari sumber percakapan seperti mengatakan sesuatu tentang mengambil 'wudhu.'

Sejurus selepas itu, Uncle Pet memberitahu kepada wartawan yang Saiful ada di dalam.

"Dia kat dalam...," kata Uncle Pet tapi enggan mengulas dengan lebih lanjut.

Cadangan 'bermubahalah' ini pertama kali diusulkan oleh Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin Julai lalu.

Gesaan ini dibuat untuk meredakan kekalutan yang sedang berlaku sekarang di mana Anwar menghadapi tuduhan meliwat oleh Saiful Bukhari. Ini adalah kali kedua Anwar menghadapi isu dakwaan meliwat. Kali pertama ialah pada tahun 1998.

Menurut Asri, "Kedua-dua mereka (Saiful dan Anwar), baik yang menuduh atau yang dituduh meliwat hendaklah bermubahalah kerana inilah cara yang pernah Nabi buat dulu."



sumber : Mstar

Thursday, August 14, 2008

Bila Mawi - Ikin akan kahwin


Didoakan Selamat Bertunang dengan aman dan cepat dijodohkan Tuhan.

Tuesday, August 12, 2008

SALAM

SAYA AKAN MULA MENULIS BERKENAAN HIBURAN MALAYSIA DAN JUGA ARTIS KESUKAAN SAYA SERTA ISU ISU LAIN TERMASUK SOSIAL, EKONOMI, POLITIK DAN HAL EHWAL SEMASA DUNIA.

KITA HIDUP DI DUNIA SIBER NI MESTILAH KENA TAHU SEMUA KAN, TAK GITU ?

OK, HARAP RAMAI PEMINAT MAWI DAPAT GENG DENGAN SAYA NANTI.

BYE,SALAM.

Muzik Mawi


Hiburan Mendidik Jiwa