Thursday, October 30, 2008

Betulkah Mawi akan tinggalkan Maestro ?

TIDAK..jawapannya di sini :

DAKWAAN bahawa Asmawi Ani atau Mawi, 27, akan meninggalkan syarikat rakaman, Maestro Records yang dinaunginya selama ini ternyata sama sekali tidak benar.

Sebaliknya, juara Akademi Fantasia Musim Ketiga (AF3) ini telah menandatangani kontrak perjanjian terbaru bersama Maestro Talent & Management Sdn Bhd untuk tempoh setahun lagi bersama Yazer, Marsha serta Amylea.

Kontrak perjanjian tersebut dimeterai di Restoran Ezzy, Bukit Bintang, petang semalam, disaksikan puluhan tetamu dan wartawan yang hadir bersempena dengan majlis berbuka puasa anjuran Maestro serentak dengan pelancaran album raya bintang AF1 - AF6 berjudul Impian Syawal.

Mawi ketika ditemui murai.com.my berkata perjanjian kontrak selama setahun itu ditangani kerana dia percaya dengan kredibiliti Maestro dalam menguruskan kerjaya seninya.

"Selepas setahun, kita akan tengok macam mana pula situasi dan keadaannya. Kalau ia memuaskan hati kedua-dua pihak, tidak mustahil saya akan sekali lagi bersama dengan Maestro.

"Saya harap dengan termeterainya kontrak perjanjian saya dengan Maestro ini, ia akan dapat menutup segala dakwaan yang tidak benar yang dilemparkan terhadap saya sebelum ini," katanya yang turut ditemani calon isterinya, Ekin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Maestro, Freddie Fernandez, berkata kontrak perjanjian yang dimeterai itu memang hanya tertumpu pada 4 bintang AF3 saja iaitu Mawi, Yazer, Marsha dan Amylea.

"Kebanyakan bintang AF3 yang lain sudah mengambil keputusan untuk melepaskan kontrak mereka bersama Maestro.

Misalnya Felix yang kini kembali ke Sabah. Begitu juga dengan Reza yang kini lebih selesa dengan kerjayanya sebagai penyampai radio Era dan hos TV. Ada yang masih mempunyai kontrak bersama kita misalnya Kefli.

"Ikut perancangan, Mawi akan muncul dengan album qasidah keduanya. Yazer pula dengan album pertamanya bersama M Nasir tidak lama lagi manakala album pertama Marsha dan Amylea sedang disiapkan," katanya.




Dengan perjanjian ini, Freddie berharap ia akan dapat menangkis tanggapan segelintir pihak bahawa pihaknya tidak pernah berbuat apa-apa dengan pelajar AF yang lain.

"Dengan situasi penjualan album yang lembab, memang sukar untuk pastikan semua album bintang AF ini akan mendapat sambutan apabila ia sudah berada di pasaran kelak. Sebab itu, kita ada perancangan sendiri.

"Kadangkala, kita sudah tentukan hala tuju mereka dalam industri ini tetapi fokus mereka tiba-tiba beralih kepada bidang seni yang lain. Ini perkara biasa," katanya.

Mengenai album Impian Syawal yang baru dilancarkan, Freddie berkata, penghasilan album raya tersebut adalah satu kesinambungan terhadap album raya yang pernah dihasilkan dulu.

"Namun bezanya kali ini, ia mempunyai penambahan 7 trek terbaru nyanyian bintang AF6 yang dicipta oleh beberapa komposer muda yang berbakat besar. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menambahkan koleksi lagu raya lama yang telah sedia ada," katanya.

Antara lagu baru yang dimuatkan ialah Raya Datang Lagi nyanyian Stacy, Syawal Kemaafan (Riz), Segaris Bulan Sabit (Nubhan), Syawal Di Rantauan (Toi) serta Sketsa Menjelang Raya (Nadia). / Murai.com


Mawi akan muncul dengan album qasidah keduanya

No comments:

Muzik Mawi


Hiburan Mendidik Jiwa